Kanser adalah salah satu masalah kesihatan yang paling menakutkan. Sehingga ke hari ini, kaedah rawatan kanser masih lagi berkembang dan dari hari ke sehari banyak kajian mengenai kanser dan rawatannya dijalankan. Walau bagaimanapun sehingga hari ini, jalan untuk mencari penyelesaian terutama berkaitan dengan pencegahan dan rawatan penyembuhan kanser masih jauh. Faktor penyumbang kepada keadaan ini adalah kurangnya kesedaran mengenai kanser dan kurangnya keberkesanan langkah pencegahan. Kanser masih merupakan masalah kepada semua manusia tidak kira lelaki mahupun wanita. Di samping ianya menyebabkan kematian, yang lebih menakutkan adalah penderitaan yang dialami pengidap kanser sebelum mereka menemui ajal. Kanser yang melibatkan organ reproduktif wanita merupakan salah satu bidang yang semakin mencabar. Kadar kejadian kanser ini semakin meningkat dan banyak factor-faktor penyumbang mengapa ianya terjadi. Kanser tidak mengenal usia, sesiapa sahaja boleh mengidap kanser dari bayi, kanak-kanak sehinggalah usia tua. Walaupun kanser selalu dikaitkan dengan penderitaan dan kematian, banyak jenis kanser masih boleh dirawat terutama pada peringkat awal. Laman web ini dihasilkan untuk memberi kesedaran mengenai kanser reproduktif wanita , kaedah pencegahan, pengesanan peringkat awal, rawatan dan penjagaan kesihatan. Ianya meliputi semua jenis kanser yang dihidapi oleh kaum wanita seperti kanser payudara, kanser pangkal rahim (serviks), kanser ovari, kanser rahim, kanser vulva dan faraj serta kanser anggor ataupun koriokarsinoma. Diharap dengan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam laman web ini akan memberi banyak manafaat kepada semua kaum wanita khususnya di dalam meningkatkan kefahaman mengenai kanser wanita.
No comments:
Post a Comment