Dua tahun lepas seorang wanita berusia 40an berjumpa saya kerana mengalami sakit dada. Wanita ini mempunyai sejarah keluarga di mana bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung.Abangnya juga mengalami masalah yang sama, dan telah menjalani pembedahan pintasan saluran darah di jantung awal tahun lepas.
Sebelum ini doctor memberitahunya dia mungkin mengalami gastrik. Namun pemeriksaan OGDS telah dilakukan dan tiada luka pada permukaan dalam perutnya.
“Doktor, mungkinkah saya mengalami sakit jantung?”
Saya diam dan kemudian menjawab, “mungkin”. Saya tidak mahu merisaukan beliau tetapi harus berterus terang agar beliau lebih berjaga-jaga.
“Bolehkah usia macam saya ada penyakit itu? Lagi pun ada doktor beritahu bahawa jarang wanita mengalami serangan sakit jantung”
Ternyata jawaban saya telah merisaukan beliau.
“Puan, saya beritahu puan bahawa puan mungkin mengalami sakit jantung. Bukannya puan telah mengalami penyakit itu. Penyakit jantung bukannya macam penyakit batuk dan selsema. Pemeriksaan yang lebih teliti harus dilakukan sebelum buat pengesahan. Jadi kalau puan belum melakukan pemeriksaan, jadi tidak adil untuk doctor itu mengatakan puan tidak mengalami penyakit itu.”
Beliau diam. Merenung kuku yang baru dipotong. Agaknya. Itu tanda keresahan dan kebimbangan.
“Berdasarkan faktor risiko puan mengalami tekanan darah dan tahap kolestrol yang tinggi, dan ahli keluarga puan yang lain juga ada yang telah mengalami penyakit itu, saya percaya puan mungkin mengalami penyakit yang sama. Sekali lagi, saya nak tegaskan, untuk mengelakkan kebimbangan, iaitu puan harus menjalani pemeriksaan yang lebih teliti.”
Saya tidak ingat perbualan seterusnya. Namun saya ada menuliskan surat rujukan ke hospital supaya masalah beliau dapat diperiksa dengan lebih mendalam.
Baru-baru ini saya diberitahu oleh staf saya bahawa wanita itu telah selamat menjalani pembedahan pintasan saluran jantung seperti abangnya.Syukur, selamat menjalani pembedahan, kerana ramai pesakit yang tidak sempat dibedah dan telahmeninggal dunia.
Saya suka menasihatkan semua wanita agar lebih berwaspada terhadap masalah sakit dada. Selama ini mereka sering diberitahu tentang masalah kanser payudara dan kanser serviks sehingga kurang mengambil berat tentang kesihatan jantung walhal punca kematian akibat penyakit jantung 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding akibat kanser di kalangan wanita.
Ramai yang menyangka bahawa penyakit jantung hanya menyerang golongan lelaki harus tanpa mengetahui bahawa wanita juga berisiko mendapat penyakit yang menyebabkan banyak kematian di seluruh dunia itu.
Ramai wanita tidak mengetahui bahawa mereka telah mengalami masalah sakit jantung kerana penyakit ini tidak memberi isyarat awal dan sukar dikesan, kecuali penyakit ini di peringkat sudah parah.
Sebenarnya risiko mendapat penyakit ini sama sahaja di antara lelaki dan wanita, cuma mereka mungkin lambat sedikit berbanding lelaki.
Secara amnya risiko wanita mendapat sakit jantung lebih rendah berbanding lelaki kerana mereka mempunyai hormon estrogen yang tinggi ketika berada dalam usia yang masih subur, yang berupaya mengelak daripada diserang penyakit itu.
Namun apabila wanita mempunyai diabetes dan darah tinggi, risiko untuk mendapat sakit jantung adalah serupa dengan lelaki. Apatah lagi jika wanita itu obese, mempunyai aras kolesterol berlebihan, merokok, gaya hidup di bawah tekanan tinggi, kurang bersenam, atau sejarah keluarga dengan masalah jantung.
Jadi jangan tidak mengendahkan serangan sakit jantung dan menganggapnya hanya penyakit biasa, penyakit angina atau penyakit gastrik saja. Lakukan pemeriksaan yang lengkap.
No comments:
Post a Comment